Kisah ni dah lama berlaku, tapi sudah tentu
menjadi peristiwa sejarah dalam Negara, apa tidaknya, tragedi bangunan runtuh
yang melibatkan banyak kematian jarang-jarang berlaku. Walaupun peristiwa hitam itu dah lama
berlalu, namun cerita-cerita seram berkaitan dengan highland tower tetap
berputar dan menjadi buah mulut orang ramai. Mengimbau kembali sejarah lalu,
mari kita susuri kronologi runtuhan bangunan tersebut. Menurut arkib sinar harian,
Bangunan Highland Tower Senget |
“PELUKIS pelan tiada kelayakan. Pendedahan
bekas presiden PAM kejutkan rakyat Malaysia.
Sebelum 1964:
Pemaju mengemukakan permohonan untuk membina kondominium.
1964: Jabatan
Perancang Bandar dan Kampung (JPBK) Negeri Selangor mula membuat penilaian.
Pejabat Daerah Kuala Lumpur meluluskan permohonan cadangan projek tersebut.
1974: Pembinaan
bangunan dimulakan oleh Konsortium Jurubina Perunding (KJP) untuk syarikat High
Land Properties Sdn Bhd.
1978: Blok 1
Kondominium telah disiapkan dan diberi Certifi cate of Fitness (CF) oleh Majlis
Daerah Gombak (MDG) dan mula diduduki penghuni.
1981: Bangunan Blok
2 telah disiapkan dan diberi CF oleh Majlis Daerah Gombak dan telah mula
diduduki penghuni.
1986: Bangunan Blok
3 telah disiapkan dan diberi CF oleh MDG. Ia telah mula diduduki penghuni.
1 Julai 1992:
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah ditubuhkan dan bertanggungjawab
secara langsung terhadap projek tersebut.
1993: MPAJ telah
memberikan CF kepada pembinaan tempat letak kereta di tingkat bawah kondominium.
November 1993:
Keretakan serius atas jalan raya sekitar kondominium telah dikesan oleh
penghuni.
11 Disember 1993: Pangsapuri Blok 1 Highland Towers di Taman Hillview,
Hulu Klang runtuh pada 1.35 petang. 124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan
(FRU) dan kira-kira 30 anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment
dan Kem Wardieburn membantu mencari.
Ratusan anggota
polis, bomba dan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),
sukarelawan PBSMM datang lebih awal. Pasukan penyelamat ternampak sebatang kayu
terjuih keluar dan bergoyang.
Pembantu rumah
seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan
anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan, diselamatkan.
Nakajima Shizue, 50,
wanita rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu tetapi meninggal
dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12
tengah malam. Dr
Shahrum Abdul Wahid dari HKL menyatakan Nakajima mengalami pendarahan dalam
yang teruk.
Perdana Menteri
ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan ramai menteri Kabinet datang melawat.
12 Disember 1993:
Penghuni Blok 2 dan 3 Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang diarah
mengosongkan rumah mereka kerana tidak selamat. Pasukan mencari dan menyelamat
dari Britain dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu. Helikopter Nuri dan
Alouette milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat tinjauan udara.
13 Disember 1993:
Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut
menyertai operasi. Mereka dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan.
Pasukan penyelamat
memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak
untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.
15 Disember 1993:
Pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi
cebisan daging dan tengkorak dalam runtuhan itu. Antara yang dijumpai lengan
kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan
tulang.
Empat mayat reput
itu dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan. Pasukan penyelamat
memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak
untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.
16 Disember 1993:
Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar daripada HKL.
17 Disember 1993:
Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan penyelamat supaya operasi
menyelamat mangsa hidup dihentikan.
18 Disember 1993:
Pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak.
19 Disember 1993:
Pasukan penyelamat menemui tiga mayat iaitu satu mayat wanita reput terbenam
kira-kira lapan meter di tempat letak kereta jam 7 malam. Mayat kedua, juga
wanita ditemui jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga,
lelaki jam 10.15 malam.
20 Disember 1993:
Setakat ini, 25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat
12. Turut ditemui mayat seorang wanita memakai sari dan memeluk seorang
kanak-kanak dipercayai anaknya.
21 Disember 1993:
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat
ditemui daripada runtuhan pangsapuri Highland Towers. Daripada jumlah itu, 37
mayat ditemui sempurna, sembilan bahagian badan dan 10 cebisan anggota iaitu
tangan, kaki, kepala serta paha.
22 Disember 1993:
Operasi mencari dan menyelamat dihentikan. Dr Nik Ramlan Nik Hassan dilantik
menjadi pengerusi Jawatankuasa Teknikal Menyiasat Tragedi Highland Towers.
Kondominium itu
dimiliki dan dimajukan oleh Highland Properties Sdn Bhd. menggunakan teknologi
pengesan degup jantung dan menebuk lubang 4.5 meter dalam. Jawatankuasa Kabinet
ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri
Highland Towers.
14 Oktober 1997:
Bekas presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong,
memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri
Highland Towers yang runtuh tidak mempunyai kelayakan bagi bangunan setinggi 12
tingkat. Beliau menyatakan pelukis pelan itu, Wong Tin Sang, hanya mempunyai
kelayakan untuk mendirikan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000
kaki persegi atau tidak lebih dua tingkat.
14 November 1997:
Koroner Mohd Radhi Abas dari Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan tragedi
Highland Towers bukan disebabkan sebarang unsur
jenayah dan bencana
alam, tetapi adalah satu kejadian nahas dan kecederaan berganda yang menimpa
mereka selepas pangsapuri terbabit runtuh.
Saman dikemukakan
oleh 73 pemilik blok dua dan tiga pangsapuri Highland Towers dan perbicaraan
diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi,
Datuk James Foong.
Saman terhadap
pemaju dan sembilan lain bagi kerugian yang dialami antara RM31 juta hingga
RM35 juta. Kumpulan itu menyaman Highland Properties Sdn Bhd, pelukis pelan
Wong Tin Sang, jurutera Wong Yuen Kean, Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ),
Arab-Malaysian Finance Berhad, Developments Sdn Bhd dan Metroplux Sdn Bhd.”
Benarkah Highland Tower Berhantu?
DUA daripada tiga kondominium Highland Towers
yang masih berdiri selepas satu daripadanya runtuh menyembah bumi pada 11
Disember 1993 adalah saksi kepada malapetaka yang cukup tragis.
Selepas kejadian yang mengorbankan puluhan nyawa
itu, arahan dikeluarkan kepada penghuni blok B dan C supaya meninggalkan
kediaman bagi tujuan keselamatan. Sejak itu, kedua-dua blok terbiar kosong.
Namun setelah hampir 20 tahun, kisah mengenai
Highland Towers masih menjadi topik perbualan khususnya kisah-kisah yang
dikaitkan dengan unsur-unsur seram dan misteri.
Salah satu daripada dakwaan yang paling kerap
didengar mengatakan lokasi itu 'keras' atau berhantu. Saki baki bangunan Blok B
dan C yang terbiar dipercayai menjadi 'kediaman' roh-roh mereka yang terkorban.
Cuma peliknya, dakwaan mengenai kisah seram itu
hanya bermain di mulut mereka yang mendakwa pernah masuk ke dalam sisa
tinggalan kondominium tersebut namun tidak pula mencetuskan kebimbangan di
kalangan penduduk.
Setakat ini, kebenaran mengenai kisah-kisah
seram tersebut hanya diketahui oleh mereka yang pernah mengalaminya. Selebihnya
mungkin sekadar rekaan.
S2 menemui salah seorang
daripada saksi yang merupakan seorang pelajar, Faisal Mahamud, 23,
yang pernah masuk lebih lima kali ke kawasan itu pada waktu malam sekitar tahun
2010 yang lalu.
Beliau mendakwa pernah mengalami saat-saat cemas
dan menyeramkan semasa berada dalam bangunan di blok B bersama rakan-rakannya .
"Lebih lima kali saya pergi bersama
kawan-kawan lain untuk membuktikan bahawa adakah tempat itu berhantu ataupun
tidak. Pertama kali kami pergi tidak merasai bahawa tempat itu 'keras',
sebaliknya hanya kedengaran anjing menyalak di kawasan perumahan, itu sahaja.
"Selepas itu, kami cuba untuk pergi lagi ke
tempat yang sama dan kali ini kami berjaya memasuki bangunan itu sehingga ke
tingkat 3. Pada waktu itu sekitar jam 1 pagi, malam jumaat, ada di antara kami
terdengar orang berjalan seperti naik dan turun tangga, kedengaran suara yang
garau menyeramkan serta seolah-oleh ada sesuatu yang mengekori kami dari
belakang," ceritanya.
Kehadiran kejadian pelik dan aneh itu membuatkan
mereka berasa seram sejuk kerana kuathir berdepan dengan masalah yang lebih
besar.
"Oleh kerana itu, kami terpaksa tangguhkan
misi kami untuk menjejaki sehingga ke tingkat atas," ujarnya.
Selang beberapa minggu, keberanian kumpulan ini
tercabar sehingga membawa mereka sekali lagi di kawasan itu dengan harapan yang
tinggi untuk menjejaki bangunan sehingga ke tingkat 12.
"Kali ini kami menanam niat untuk masuk ke
tingkat 12 bangunan tersebut. Sebaik sahaja sampai, kami terus menyelinap masuk
ke dalam bangunan itu sehingga ke paras enam.
"Semasa kami berjalan menuju ke bangunan
itu melalui celah-celah pokok, kami dikejutkan dengan suatu bunyi pelik yang
menyeramkan. Bunyi itu dipercayai kedengaran daripada sebatang pokok yang tidak
jauh dari tempat mereka.
"Selepas memanjat tangga bangunan tersebut
sehingga ke tingkat enam, kami cuba melihat daripada pandangan bawah bangunan
itu dan kami ternampak bayangan seolah-olah ada kelibat orang sedang bermain di
bawah bangunan. Masing-masing di antara kami membisu. Selain itu, kami juga
ternampak kelibat seorang wanita sedang duduk di tingkat enam dalam blok yang
berasingan," katanya.
Menurutnya, pengalaman itu bukan rekaan tetapi
benar-benar dialami mereka.
Dalam pada itu, dakwaan terbabit disangkal oleh
kumpulan lain yang turut aktif melalukan kajian dan penyelidikan berkenaan
dengan kewujudan makhluk halus ini.
Pengembaraan Alam Ghaib (PAG Paranormal) cuba
merungkai kesahihan kisah misteri disebalik Highland Tower tersebut wujud
ataupun sekadar rekaan yang digembar gemburkan banyak pihak.
Menurut jurucakap PAG
Paranormal, Azree Jaafar, 33, kawasan tersebut sebelum ini dipenuhi
semak samun dan dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang penyeliaan menjadikan
kawasan tersebut tidak ubah seperti berlukar.
"Tambahan pula, terdapat dua bangunan usang
kosong dan ditinggalkan hampir 20 tahun menampakkan tempat tersebut menjadi
suatu tempat yang seram," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sumber: Sinar Harian dan Utusan
Post a Comment Blogger Facebook