Maarof Dibunuh Untuk Gagalkan Penubuhan Bank Melayu
Orang ramai terutama peminat filem Melayu cukup mengenali seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof yang terbabit dalam lebih 50 filem sejak sebelum merdeka dan beratus drama di Singapura dan Malaysia.
Tetapi masyarakat mungkin tidak mengenali siapa bapanya, Allahyarham Maarof Zakaria. Bagi penduduk Kuala Lumpur, terutama di Bangsar dan Lembah Pantai, mereka cukup sinonim dengan nama Jalan Maarof, bermula di Dataran Maybank menuju ke pusat beli beli Bangsar.
Siapakah Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna setiap hari. Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang diperkatakan.
Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 - 23 Oktober 1973).
Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 - 7 November 1991).
Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di Klang Street, di ibu negara.
Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ia melalui sistem perbankan yang sistematik.
Namun, sayangnya niat murni tokoh itu disalah tafsir pihak tertentu yang tidak mahu melihat tahap kesedaran Melayu terus meningkat dan dilihat menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu pada ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina iaitu Overseas Chinese Banking Corporation.
Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kematian pengasas Malay National Bank, Maarof Zakaria, sebagai tragik dan sangat menyedihkan kerana ia berlaku ketika peguam itu berusaha membantu orang Melayu keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi penubuhan bank.
Bekas Perdana Menteri berkata, jasa Maarof sangat besar dan beliau orang Melayu yang berani menubuhkan bank untuk membantu kaumnya, ketika itu.
“Ketika itu, orang Melayu jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan hidup dalam kemiskinan. Bank yang ada ketika itu tidak mahu memberi bantuan atau pinjaman modal kepada orang Melayu.
“Justeru, ada suara yang meminta dan mendesak supaya sesuatu dilakukan untuk membantu orang Melayu.