ALEXANDRIA - MESIR.
Sebelum ini ramai menyangka bahawa kota purba, Thonis-Heracleion hanyalah
sebuah kota lagenda.
Namun penemuan ke
atas kota tersebut pada tahun 2000 sekaligus menyangkal dakwaan pelbagai pihak,
menjadikan kota yang selama ini dikatakan mitos, sebenarnya wujud di bumi ini!
Kota purba ini
dikatakan lenyap di sekitar kawasan Mediterranean sekitar 1,200 tahun dahulu.
Menurut laporan
yang dipetik menerusi portal Mirror.co.uk, ciri-ciri yang terdapat pada
sejarah, ukiran dan binaan yang terdapat di kota tersebut hampir menyerupai
kota purba Atlantis.
Sekumpulan
penyelidik yang merupakan ahli arkeologi berkata, penemuan tersebut bermula di
bahagian utara pantai Mesir.
Kata seorang
penyelidik, Franck Goddio, kumpulannya mula menjejak semula kota tersebut
sebelum menemui bahagian-bahagian kota lama itu yang berada jauh di dasar laut.
“Setakat ini, pihak
kami telah menemui serpihan-serpihan yang mempunyai hubung kait dengan kota
tersebut.
“Pihak kami menemui
64 bangkai kapal pedagang yang dipercayai menjalankan urus niaga dengan
penduduk kota tersebut, syiling emas dan patung-patung gergasi sebesar 16 kaki,"
katanya.
Selain itu,
pihaknya melaporkan turut menemui kepingan batu berukir tulis purba Yunani dan
Mesir Purba di tapak penemuan kota tersebut.
Berdasarkan teori
awal penyelidik, kota tersebut dikatakan ‘tergelincir’ ke dasar laut 1,000
tahun selepas ia dibina pada abad kelapan sebelum Masihi.
Sebelum kota
Thonis-Heracleion hilang, ia dikatakan dibina di sekitar muara Sungai Nil.
“Andaian itu dibuat
berdasarkan patung granit merah Dewa Hapi iaitu dewa Sungai Nil yang dijumpai
bersama dengan penemuan kota tersebut.
“Patung tersebut
juga merupakan antara patung terbesar pernah ditemui oleh pihak kami,” jelasnya
seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.
Antara teori
lain yang turut dikemukakan termasuklah kenaikan paras air laut dan tragedi
bencana alam yang menimpa, menyebabkan kota tersebut ‘terkubur’ ribuan tahun
lamanya.
Post a Comment Blogger Facebook