Khairul Anam Khairul Anam Author
Title: Cerpen: Hantu Kepala
Author: Khairul Anam
Rating 5 of 5 Des:
Hujan renyai mula membasahi dedaun pokok, sekali sekala kedengaran sayup suara anjing menyalak. Suasana diluar yang agak redup membuatk...

Hujan renyai mula membasahi dedaun pokok, sekali sekala kedengaran sayup suara anjing menyalak. Suasana diluar yang agak redup membuatkan mata Salim semakin kuyu, pen yang dipegang terlepas dari genggaman. Radzi yang sedari tadi tekun mengadap notebooknya tersenyum simpul melihat gelagat Salim yang terlentuk ke kanan dan ke kiri, “dah macam orang tak ada tulang tengkuk je si Salim ni hehe…”kata Radzi dalam hati. Tumpuan Jimmy dan Bard masih lagi pada papan catur, tidak berganjak walau seinci pun kedudukannya..cukup statik, Jimmy meniarap di atas katil, manakala Bard menangkur kepala dibibir katil Jimmy.
Jam yang tergantung kemas di dinding bilik mereka berempat jelas menunjukkan tepat jam 12 tengah malam. Keadaan disekeliling asrama putra Sekolah Sukan Kampung Tupai Melompat ini cukup sunyi dek kerana pelajarnya yang masih lagi bercuti bagi menghabiskan cuti penggal pertama mereka yang berbaki dua hari sahaja lagi. Radzi dan rakan-rakannya sudah berpakat untuk membuat ‘study group’ sebagai persediaan menghadapi peperiksaan selepas cuti penggal pertama tamat.
“Ishh…mengantuk la pulak…adoii aii!!”jerit Salim mengejutkan ketiga-tiga rakannya. Pantas sahaja Jimmy mencapai bantal peluk kesayangannya lalu dibaling ke arah Salim sambil membuat gaya ala atlet lontar peluru, “kau ni buat orang terkejut je la! Hilang konsentrasi aku pada papan catur ni…hergg!” marah Jimmy yang sememangnya seorang penakut. Ketakutannya jelas terpancar diwajahnya yang kelihatan pucat ala-ala Edward Cullen gitu. “Kau ni kalau mengantuk, pergi buat senaman lompat bintang…haa ‘confirm’ mata kau segar lagi bugar haha..” Radzi memberi cadangan kurang cerdik. “Betul jugak!” Salim bingkas bangun lalu membuat senaman lompat bintang.
Pecah tawa ketiga-tiga rakannya melihat gelagat Salim, “kau ni lurus bedul ke lurus bendul ek” soal Bard, tawanya masih berbaki. “Eh, betul apa…lepas buat macam ni mata aku segar balik tau” kata Salim sambil mengangkat tangan memperlihatkan lengannya yang tidak berotot. Radzi hanya menggelengkan kepalanya melihat telatah sahabat-sahabatnya. Matanya juga mula mengantuk, selimut dikaki ditarik separas dadanya… “sejuk pulak malam ni” kata hati Radzi. Mulutnya berkumat-kamit membaca Surah 3 Qul dan Ayat Kursi, memang sudah menjadi kebiasaan baginya membaca ayat suci ini sebelum tidur.
“Weh…bosanlah main benda alah ni…aku nak tidur!”pekik Jimmy. Papan catur ditolak kasar, hampir separuh daripada buah catur bertaburan diatas lantai. “Ek eleh…kau ni kan, kalau dah kalah tu buat aje la cara dah kalah…tak payah nak emo-emo macam ni” jari-jemari runcing Bard ligat mengutip buah catur yang bertaburan sambil mulutnya tidak henti-henti membebel…dah macam mak Jemah kantin pun ada. Jimmy tidak mengendahkan bebelan Bard, “bebel la Bard…asalkan kau bahagia haha”. Matanya dipejamkan seolah-olah seperti orang yang sedang tidur, nak coverline la tu. Sesudah menyimpan papan catur miliknya, Bard teringat pada peristiwa yang berlaku di asrama putra pada bulan lalu. Matanya masih belum mahu tidur, mungkin terlebih minum air red bull ketika makan malam tadi.
“Eh,…korang semua ada dengar cerita tak?” soal Bard sambil bersandar pada meja tulisnya. “Cerita apa?” tanya Salim berminat. Jimmy membuka sebelah matanya, tertarik juga dia mahu mendengar cerita Bard, poyo betul… “Alah..cerita pasal budak junior kena tegur” Bard sengaja menimbulkan suasana suspen. “Siapa yang tegur?” Radzi bersuara, lenanya terganggu disaat Bard memarahi Jimmy sebentar tadi. “Aigoo…benda tu la” Bard melenggok-lenggokkan badannya sambil tangannya dilembutkan seperti sotong kurita. “Yang kau buat tarian hawaii malam-malam buta ni, dah kenapa?” hilang sabar Jimmy menanti jawapan dari Bard, menyirap air sirap bandung dibuatnya. Mata Bard dikecilkan lalu diletakkan kedua-dua jari telunjuknya dibahu sambil matanya dijelingkan ke atas, bosan kerana sahabat-sahabatnya gagal meneka perbuatannya tadi, “baru nak buat trivia sikit, tu pun tak boleh teka” gerutu hati Bard. “Hurmm…budak junior tu nampak hantu kepala” Bard menjegelkan biji mata, memperlihatkan anak matanya yang berwarna coklat hazel. Jimmy mula membaluti tubuhnya dengan selimut, hanya mata sahaja yang kelihatan…dah serupa the mummy pun ada, memang dasar penakut.
Salim menguis-guis bedak sejuk diwajahnya yang sudah kekering, memang itulah tabiat hariannya menyapu bedak sejuk dimuka setiap malam. Oleh itu dia mendapat jolokan ‘salimah gebu’ dek kerana kegebuan wajahnya, “boleh percaya ke?”. “Ehh…kita wajib percaya bahawa benda-benda halus ni memang wujud, cuma pandangan kita ni terhijab daripada melihat mereka. Cuba kau bayangkan kalau pandangan kita tak terhijab, boleh kering darah si Jimmy ni hari-hari” Radzi mula bersyarah. “Apasal aku pulak yang jadi perumpamaan kau?” Jimmy tidak berpuas hati, tersingkap kain selimut yang membaluti tubuhnya. “Ye la, kau kan penakut…kang toleh belakang nampak benda tu, jenguk bawah katil pun nampak benda tu…tak ke kering darah kau dibuatnya” selamba Salim memberi penerangan sambil menggigit kuku jari telunjuknya. Jimmy tersiput-siput malu, ternyata rakan-rakan sangat memahami akan kelemahan dirinya, hehe…kantoi pulop..
“Tapi pelik jugak, apasal kau sorang je yang tau cerita ni Bard?” soal Radzi pelik. “Hok’alorh…aku ni antara saksi yang melihat kejadian tu” sambil berpeluk tubuh, Bard mengangkat kening kanannya, menyerlahkan lagi kekacakan jejaka kacukan melayu-cina itu…jejaka idaman malaya la katakan. Serentak dengan itu, ketiga-tiga sahabatnya mengangkat tangan sambil membuat gaya ucop wheel chair, “haa…ce cite..ce cite”. Bard menganggukkan kepalanya, “Ceritanya macam ni, kejadian tu berlaku seminggu sebelum cuti sem..masa tu aku tengah tolong Cikgu Sarip Dol susun alatan sukan dekat dalam stor…tiba-tiba ada suara orang menjerit dari tandas yang berdekatan dengan stor sukan tu”. Salim mula menutup semua buku rujukannya, dia mahu fokus pada cerita Bard. Jimmy pula masih lagi mahu mendengar cerita seram itu walau jika dilihat pada matanya dia sedang ketakutan yang teramat. Radzi sudah menongkat kepala, terbantut sudah niatnya untuk tidur.
“Masa tu hampir nak maghrib, dengar cerita budak junior yang keteguran tu amatlah terkenal dengan keceluparannya. Itu pasal dia kena tegur…meracau-racau budak tu dibuatnya” sambung Bard semula, berkerut-kerut keningnya melepaskan setiap bait kata-kata. “Habis tu…dimana ‘location’ kejadian yang sebenarnya” Salim merojakkan bahasa melayu dan inggeris, perosak bahasa betul. Bard memandang salim sekilas, “Dia nampak benda tu dekat tandas blok G, tingkat satu”. “Eh..bukan ke tandas tu memang berkunci, macam mana budak tu boleh masuk pulak” Jimmy mengaru-garu dagunya yang gatal, nak tumbuh janggut agaknya..
“Haa…disebabkan budak yang keteguran tu berlagak lagi celupar, pelajar junior lain cabar dia masuk tandas tu sebab ada orang kata tandas tu macam misteri nusantara sikit, macam mana diaorang masuk tu…aku tak pasti pulak” terang Bard. “Tapi memang tak ada kecoh-kecoh pun pasal cerita ni” Salim masih lagi kurang percaya dengan cerita Bard, bukan boleh percaya sangat ‘brader’ ni…kaki klentong. “Pihak sekolah tak nak kecoh-kecoh, dia orang bimbang nanti pelajar semua takut, jadi kes ni ditutup serta-merta” balas Bard sambil menyedut air kotak minuman berperisa purple carrot. “Mungkin betul jugak cerita Bard ni sebab hari tu aku ada nampak tukang kebun tutup pintu tandas tu dengan kayu…siap tulis ‘no entry’, pandai jugak pak cik tu ‘speaking’ hehe…” jelas Radzi.
Seketika itu juga, kedengaran bunyi dedaun pokok berlaga menandakan angin kencang diluar sana. Bunyi anjing menyalak pula dirasakan semakin hampir dan hampir, salakan anjing yang mendayu-dayu itu seperti berada dibelakang bilik asrama mereka. Angin sejuk menyapa ketengkuk mereka berempat membuatkan bulu roma mereka berdiri tegak 90 darjah. Tiba-tiba, “klakk!!” bunyi dahan patah kedengaran, empat sahabat itu saling berpandangan dan dengan sepantas kilat mereka berlari mendapatkan selimut lalu berselubung diatas katil. Masing-masing mendiamkan diri dan bermain dengan imaginasi sendiri membayangkan cerita Bard sebentar tadi.
Jam di dinding yang berdetik menghampiri 1.30pagi, bunyi pelepasan gas memecahkan kesunyian pagi “preeetttt…preeetttt”. “Perghhh…boleh mati keracunan aku!” jerit Jimmy. “Siapa yang tak ada sivik ni, melepaskan gas sesuka hati..adoii aii” marah Salim. “Bau petai!!” Radzi menekup hidungnya yang mancung dengan bantal. Bard tersenyum kambing, “sorry bro…perut aku meragam pulak” Bard memegang perutnya yang seperti sedang dipulas-pulas. “Preeett…preeett…preeettt”. “Arghhh…mati aku!” Salim berlari kearah tingkap lalu dibuka seluas-luasnya. “Tu la tadi masa makan tak ingat dunia….nasi lauk petai berulamkan air red bull, ni la jadinya” marah Radzi yang masih menekap hidungnya dengan bantal.
“Wehh geng…teman aku pergi melepaskan hajat jap” Bard separa merayu. “Ouhh no, no…jangan ajak aku ea, aku lebih rela tinggal dalam bilik je” Jimmy segera menarik diri. Radzi dengan rela hati bangun untuk menemankan Bard. Jika difikirkan semula, ada baiknya jika dia menemani Bard ke tandas daripada dibiarkan Bard melepaskan bom hiroshima nya itu didalam bilik…boleh koma lima bulan berturut-turut woo… “Salim jom ikut aku…kang si Bard ni tekun melepas dalam tandas, aku pulak diri terpacak sorang-sorang kat luar….silap hari bulan ada yang datang mengorat aku..susah pulak nanti” pinta Radzi, cerita Bard sebentar tadi masih lagi bermain-main dalam mindanya.
Keadaan sekeliling dorm sungguh sunyi, kelihatan empat kelibat sedang membelah lorong kaki lima yang gelap dan salah satunya berjalan terhincut-hincut seperti menahan kesakitan. “Jalan cepat sikit boleh tak?” soal Jimmy dengan nada yang cemas. “Diamlah kau…tadi sibuk nak tinggal dalam bilik, tup tup…ikut pulak” marah Salim. “Daripada aku tinggal sorang, lebih baik aku ikut” terang Jimmy..ini semua poyo, penakut tak sudah. Mereka terpaksa menuju ke tandas blok F kerana tandas yang berdekatan dengan bilik mereka serta kebanyakkan tandas yang lain sedang di selenggara. Setibanya ditandas, Bard tanpa menoleh kiri dan kanan, pantas sahaja menuju kedalam…destinasinya tak lain tak bukan…mangkuk tandas, ouhyeahh..
“Uishh…sejuknya malam ni” kata Salim sambil mengusap lembut lengannya. “Ni kalau tidur, mesti lena punya lah..” Jimmy menyampuk, sekadar menenangkan hati yang sedang gusar. Sekali-sekala matanya dijelingkan ke arah tandas blok G yang berada berhampiran dengan blok mereka. Walau kawasan tandas blok G itu gelap, namun perkataan ‘no entry’ pada papan kayu dipintu tandas itu jelas kelihatan…mungkin kerana terangnya cahaya rembulan pada malam ini. Hampir setengah jam mereka menunggu Bard. “Kenapa lama sangat si Bard ni…mengeram telur ayam ke apa?” Salim sudah mula berasa tidak senang hati, kakinya terasa kebas dek kerana berdiri terlalu lama bertemankan angin yang sejuk. “Entah-entah Bard pengsan sebab terlebih hidu bau gas beracun sendiri kot, haha…” Jimmy cuba melawak. Radzi hanya tersengih mendengar lawak antarabangsa dari Jimmy itu.
“Arrgghhhh!!” pekikan Bard membuatkan Jimmy dan yang lain terkejut bukan kepalang. Bard segera berlari keluar, rakannya pula terpinga-pinga melihat wajah Bard yang kalut. “Kepala!…aku nampak kepala!!” jerit Bard. “Arggghhhh!!!”. Lintang-pukang keempat-empat sahabat ini lari meninggalkan kawasan tersebut. Kedudukan paling hadapan semestinya Jimmy si penakut, kelebihannya sebagai atlet pelari pecut digunakan sebaik mungkin. Di ikuti oleh Salim, pemain ragbi sekolah terbaik…habis semua pasu-pasu dan papan kenyataan dilanggarnya. Walaupun jika dipandang fizikal luarannya yang kurus, tinggi lampai dan lemah lembut, namun jiwanya yang kental menggagahkan 


diri. Radzi dan Bard mengikuti dibelakang. Kelebihan Radzi sebagai atlet renang sekolah tidak dapat digunakan dalam situasi ini, cuba kalau keadaan sekeliling ni kolam renang… ‘confirm’ lah dia yang mendahului rakan-rakannya yang lain.
Setibanya mereka didalam bilik, kesemuanya mempamerkan gaya tersendiri, Jimmy berselubung sambil tertonggeng seperti ayam tonggeng. Radzi meniarap diatas katil sambil bantalnya dilekapkan ke kepala. Salim pula bersembunyi dibawah meja tulisnya, menggeletar kakinya..sudahlah penat berdiri menunggu Bard dalam kesejukan ditambah pula dengan acara larian dimalam hari sebentar tadi, mau demam urat dibuatnya. Bard pula bersandar pada pintu bilik, terduduk sambil memeluk lutut. “Kau..kau..nampak apa tadi Bard?” soal Salim memecah kesunyian. Bard masih mendiamkan diri, “gulppp” air liurnya ditelan, pahit dirasai. Jimmy dan Radzi sekadar menjadi pendengar yang setia. “Aku…aku nampak kepala” gagap Bard menjawab dengan nada suara bergetar, barangkali ketakutannya masih belum hilang.
“Eee…kepala..” berkerut kening Jimmy, cadar katilnya dicengkam kuat, fikirannya melayang membayangkan sekiranya dia yang terserempak dengan ‘lembaga’ tersebut, ada kemugkinan besar insiden putus nafas selama 10 minit boleh terjadi. “Kepala apa?” soal Radzi memberanikan diri. “Aku nampak..kepala” gagap Bard menjawab, “kepala..kepala paip…” balas Bard. Serentak dengan itu, kelihatan satu objek berat melayang keluar dari bilik lalu terhempas kuat di kaki lima berhadapan dengan bilik mereka. Oleh kerana objek yang terhempas itu agak mampat, bunyinya lebih kurang sama macam bunyi cempedak gugur “gedebukk!!”.
Sedetik kemudian, satu suara sayu mula kedengaran. “Wehh…korang, bukalah pintu ni..aku bergurau je…buka la, sejuk kat luar ni…aku takut la…” rayu Bard, timbul penyesalan difikiran. Ketukan pintu dari luar bilik tidak diendahkan Radzi, Jimmy dan Salim. Mereka bertiga lena tidur dengan sedikit dengkuran, mungkin kepenatan berlari menyusuri kepekatan malam…ditambah pula bengkaknya hati dengan lawak antarabangsa Bard dimalam hari. Jam didinding tepat menunjukkan jam 2.30pagi, bunyi salakan anjing semakin kuat kedengaran. Deruan angin menyapa tengkuk Bard, sejuk dirasakan. “Korang… Buka la pintu ni pleaseeeee…..”

Advertisement

Post a Comment Blogger

 
Top