Bil elektrik tinggi dah sama macam sewa rumah
MINGGU ini, kecoh di media sosial tentang kenaikan kadar tarif elektrik yang tercatat dalam bil berganda daripada penggunaan biasa.
Pengguna memuatnaik resit yang diterima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk bulan semasa dan membandingkannya dengan penggunaan beberapa bulan lalu.
Perkara itu menjadi viral hingga semakin ramai yang melakukan perkara sama dan membuat aduan di Facebook TNB Careline.
Laman Facebook TNB Careline juga dibanjiri pelbagai persoalan oleh pengguna yang rata-rata melahirkan rasa tidak puas hati.
"Bulan lepas bil saya RM200 lebih kenapa bulan April, bil saya menjadi RM516? Penggunaan elektrik sama sahaja. Mohon penjelasan," tulis Mokhzani Mokhtar.
[ARTIKEL BERKAITAN: Penggunaan elektrik meningkat kerana El-Nino]
"TNB, saya nak tanya kenapa bil elektrik saya melambung naik? Sama banyak kena bayar sewa rumah saya dah. Saya tahu mesti TNB nak jawab kerana El Nino tapi saya pakai kipas sahaja, tidak guna pendingin hawa. Apa kena mengena elektrik melambung 100 peratus dengan El Nino?," tanya Gula Melaka.
"Tumpang tanya, apa kes bila rumah saya bulan ini melambung mendadak? Penggunaan biasa dalam RM100 hingga RM120 sahaja. Bulan ini melampau-lampau naiknya sampai RM270 lebih dua kali ganda. Mohon penjelasan," tulis Mohamad Noor Hakim Shahrom.
Ada juga pengguna yang mendakwa mereka telah lama menggunakan penghawa dingin namun bil yang dikenakan tidak setinggi bulan Januari, Februari dan Mac lalu.
Ada juga pengguna yang memberi alasan menggunakan elektrik pada waktu malam sahaja serta tiada penghawa dingin di rumah namun bil tetap melambung.
"Rumah sewa saya cuma seorang tinggal dan mempunyai kipas, lampu serta peti ais sahaja. Pergi kerja jam 7 pagi dan balik jam 10 malam. Jadi rutin harian adalah sama. Bil sebelum ini RM25 tapi sekarang RM100. Tak ada bertambah pun penggunaan," kata Ayed Ismail Id's.
Sementara pengguna, Herman Shah menyarankan TNB mencari inisiatif bagi menangani isu kenaikan caj elektrik.
"Tak ada inisiatif untuk bantu kurangkan bebanan pengguna yang selama ini terpaksa menggunakan servis anda? Bagi rebat atau kurangkan tarif? Benda ini tak kan kami yang kena difikir? Bil api lagi tinggi dari bayaran bulanan Axia. Apa cerita?," katanya.
Namun melalui kenyataan yang dikeluarkan TNB, cuaca panas terik dan kering berpanjangan sehingga ke hari ini mengakibatkan penggunaan elektrik meningkat.
Permintaan tertinggi elektrik di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan 17,788 MW pada Rabu (20 April), meningkat 37.82 peratus berbanding 1 Januari lepas (12,906 MW), kesan fenomena El-Nino.
Post a Comment Blogger Facebook