Skim Cepat Kaya Pak Man Telo(1992)
Di era 80-an, seorang individu yang bernama
Osman Hamzah atau mesra dengan panggilan Pak Man Telo merupakan dalang utama
yang juga pengasas kepada satu skim cepat kaya yang terkenal pada waktu itu.
Skim yang didaftarkan di atas nama Skim Pestama Berhad ini menjanjikan pulangan
dividen yang besar kepada pelabur dalam tempoh masa yang singkat.’Manifesto’
inilah yang menarik minat lebih 50,000 pelabur yang terdiri daripada golongan
berpendapatan sederhana dan tinggi ketika itu untuk turut serta dalam skim yang
juga dikenali sebagai skim Pak Man Telo ini.
Berasal dari Taiping,beliau pernah bertugas
bersama Warta Negara sebagai wartawan akhbar pada 1960-an sebelum menjadi
wartawan sambilan di Bernama pada 1970-an.Sejak skim ini mula diasaskan,
pembayaran dividen kepada pelabur cukup lancar tanpa sebarang kesulitan
bertahun-tahun lamanya.Hal inilah yang membina kepercayaan pelabur kepada Pak
Man Telo.
Namun kelancaran operasi Skim Pak Man Telo mula
goyah pada penghujung dekad 1980-an. Pada 1 Oktober 1989, beberapa pegawai dari
Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyerbu rumah Pak Man Telo di Taiping bagi
menyiasat kegiatan skim cepat kaya yang dikendalikannya. BNM menyerbu rumah Pak
Man Telo buat kali kedua pada 23 November 1989 dan merampas wang tunai hasil
deposit orang ramai sebanyak RM1.7 juta. Dengan bukti yang ada, Pak Man Telo
berserta isterinya (Maimunah Taib) dan anak lelaki mereka (Abdul Rahman Osman)
bakal menghadapi masalah.
Berikut ialah rentetan detik-detik terakhir Skim Pak Man Telo:
11 Januari 1990 – Pak Man Telo dihadapkan ke
mahkamah atas tuduhan melanggar Akta Bank & Industri Kewangan 1989 kerana
mengambil deposit berjumlah RM20 juta daripada orang ramai tanpa memiliki
lesen. Isteri dan anak lelaki Pak Man Telo pula dituduh bersubahat. Mereka
bertiga tidak mengaku bersalah. Pak Man Telo dibebaskan dengan ikat jamin RM1
juta dan pasportnya dirampas, manakala isterinya dan anak lelaki mereka dibebaskan
dengan ikat jamin setiap seorang RM200 ribu dengan seorang penjamin. Kes mereka
bakal dibicarakan.
13 Mac 1990 – Pak Man Telo, isterinya dan anak
lelaki mereka dibicarakan di mahkamah. Pak Man Telo mengaku bersalah atas
tuduhan mengambil deposit tanpa memiliki lesen. Hukuman ke atas Pak Man Telo
akan dijatuhkan keesokan harinya. Isteri dan anak lelaki Pak Man Telo
dibebaskan. Hakim memerintahkan supaya wang tunai RM1.7 juta yang dirampas dari
rumah Pak Man Telo dipulangkan kepadanya kerana tiada peruntukan yang
membolehkan BNM berbuat demikian.
14 Mac 1990 – Pak Man Telo dijatuhkan hukuman
denda RM250 ribu atau setahun penjara. Beliau membayar denda itu dengan wang
tunai. Walaupun Pak Man Telo bersalah, tetapi para penyokongnya yang berada di
mahkamah menyambut ‘kebersalahan’ Pak Man Telo dengan penuh kegembiraan (lihat
gambar di atas) dan berkali-kali melaungkan “Hidup Pak Man”! Para pemerhati
menjangka yang Skim Pak Man Telo akan hancur selepas itu tetapi sebaliknya skim
cepat kaya itu telah mendapat pendedahan yang semakin meluas dan menjadi sangat
popular.
April hingga Ogos 1990 – Skim Pak Man Telo
beroperasi seperti biasa, deposit tetap diterima daripada orang ramai yang
jumlahnya semakin meningkat. Pulangan dividen berjumlah 10 peratus daripada nilai
pelaburan telah dibayar tanpa gagal, malah kadar dividen itu kemudiannya telah
dinaikkan kepada 12 peratus! Mungkin ramai orang yang berjaya menjadi kaya
dengan cepat dalam tempoh ‘gemilang’ itu.
September 1990 – Para pelabur Skim Pak Man Telo
mula mengesan yang pulangan dividen mereka sudah tidak dimasukkan ke dalam
akaun bank seperti bulan-bulan sebelumnya. Ada sesetengah pelabur pula hanya
menerima separuh daripada pulangan dividen yang sepatutnya. Manakala
pelabur-pelabur yang menerima pulangan dividen melalui cek pula mendapati ia
adalah ‘cek tendang’.
19 September 1990 – Para pelabur menyerbu rumah
Pak Man Telo di Taiping bagi meminta penjelasan mengenai status pelaburan
mereka.
20 September 1990 – Pak Man Telo mengumumkan
penurunan kadar dividen daripada 12 peratus kepada cuma 5 peratus. Beliau
memberi alasan bahawa ia berpunca daripada kemelesetan ekonomi dunia akibat
Perang Teluk (yang meletus pada 2 Ogos 1990). Selain itu beliau menyalahkan
kejadian penyelewengan di kalangan “ajen-ajen”.
15 Januari 1991 – Keadaan semakin teruk, Pak
Man Telo gagal membayar pulangan dividen yang dijanjikan. Para pelabur
berkerumun di rumahnya bagi menuntut kembali wang pelaburan masing-masing. Kekecohan
terjadi dan kereta Pak Man Telo turut dirosakkan.
28 Februari hingga 5 Mac 1991 – Enam orang
lelaki telah menculik anak lelaki Pak Man Telo, Abdul Razak Affendi (19 tahun),
dan mengurungnya di Hotel Tropicana, Kuala Lumpur, namun mereka semua berjaya
diberkas oleh pihak polis.
15 Mac 1991 – Para penculik anak Pak Man Telo
telah dihadapkan ke mahkamah.
6 April 1991 – Seorang pelabur Skim Pak Man
Telo akhirnya membuat laporan polis mengenai penyelewengan yang berlaku. Pak
Man Telo kemudian telah ditahan selama beberapa minggu oleh pihak polis dari
Bukit Aman, Kuala Lumpur. Selepas itu Pak Man Telo telah dibuang daerah di
Kuala Terengganu, Terengganu.
17 Julai 1991 – Hasil siasatan lanjut, Bank
Negara Malaysia telah mendakwa Pak Man Telo di mahkamah atas tuduhan mengambil
deposit sebanyak RM99.09 juta daripada orang ramai (dianggarkan 50 ribu orang)
tanpa memiliki lesen. Pak Man Telo tidak mengaku bersalah dan minta
dibicarakan. Beliau dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta sementara menunggu
perbicaraan pada awal 1992.
2 Mac 1992 – Setelah perbicaraan selesai, Pak
Man Telo yang ketika itu berusia 65 tahun telah didapati bersalah buat kali
kedua, dan mahkamah menjatuhkan hukuman ‘penjara setahun’ dan ‘denda RM500 ribu
atau penjara setahun’. Pak Man Telo akhirnya merengkok dalam penjara selama
setahun bermula pada tarikh beliau ditahan (17 Julai 1991). Bagi hukuman kedua,
Pak Man Telo gagal membayar denda RM500 ribu dan beliau dipenjarakan lagi
selama setahun bermula pada 2 Mac 1992.
Akhbar melaporkan kes skim cepat kaya Pak Man
Telo sebagai “salah satu skandal kewangan yang terbesar” di Malaysia, setanding
dengan kes Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan kehilangan lebih RM22 juta dari
Bank Negara Malaysia. Bezanya, Pak Man Telo hanyalah seorang bekas wartawan dan
bukanlah pakar dalam bidang ekonomi atau pun berkemahiran dalam sistem
kewangan, tetapi dengan hanya bersandarkan kepercayaan daripada orang ramai,
beliau mampu ‘berskandal’ (walaupun akhirnya tumpas) melibatkan jumlah wang
yang sangat melampau.
Nota tambahan:
Menurut Kamus Dewan, skim bermaksud
“rancangan”, dan skim cepat kaya bermaksud “skim pelaburan yang kononnya boleh
memberikan pulangan (keuntungan) yang segera dan sangat lumayan”.
Asal usul nama gelaran “Pak Man Telo” (Osman
Hamzah) tidak diceritakan dalam artikel yang dirujuk. Dalam arena hiburan
tempatan, seorang pelawak pentas pada hujung 1980-an pernah menggunakan nama
Pak Man Telo (beliau pernah berlakon filem Janda Meletup pada 1990), tetapi
beliau bukanlah Osman Hamzah.
Selain Skim Pestama Berhad (Skim Pak Man Telo)
yang secara haram mengumpul sebanyak RM99.09 juta wang deposit orang ramai,
terdapat banyak lagi skim cepat kaya yang pernah beroperasi di Malaysia
sehingga awal 1992, antaranya ialah:
- Skim 350 (mengumpul deposit RM70 juta)
- Skim Tingcon Credit Development Sdn Bhd (RM60 juta)
- Skim Permata Bakti (RM30 juta)
- Skim 120 (RM20 juta)
- Skim Permata Mahir (RM19 juta)
- Skim Sri Emas Enterprise (RM10 juta)
sumber: arkibnegara.blogspot.com
Post a Comment Blogger Facebook