KAMPUNG GAJAH - Penduduk gerun, takut dan bimbang
keluar malam. Itu gambaran situasi semasa sebahagian besar penduduk Kampung
Balun Bidai di sini, selepas digemparkan dengan kisah penemuan pocong sejak
seminggu lalu.
Lebih menggemparkan, ada laporan memetik pengakuan
penduduk yang mendakwa terserempak dengan lembaga tersebut menunjukkan muka,
berlegar-legar malah bergolek-golek di hadapan mereka sekitar kawasan masjid di
kampung itu.
Kawasan sekitar masjid baharu yang dalam proses
pembinaan kini dianggap lokasi 'panas' dalam kampung, ramai yang mula resah
untuk melalui kawasan tersebut lebih-lebih lagi di waktu malam,
seboleh-bolehnya mahu dielak daripada melintas di kawasan jelmaan pocong itu.
Tabung masjid kena pecah
Namun, dalam pada penduduk resah dengan kisah pocong,
wujud satu lagi situasi lain yang membimbangkan penduduk kampung. Dalam hangat-hangat penduduk bercerita
mengenai penemuan hantu itu, berlaku satu kejadian tabung masjid kampung
dipecah.
Perkara itu didedahkan ketua kampung, Hamaidi Ismail
yang bimbang kehangatan kisah pocong masuk kampung diambil kesempatan pihak
lain untuk melakukan jenayah.
“Saya tidak menafikan kerana kita harus percaya
makhluk ghaib memang wujud namun di dalam kes ini saya juga tidak mengiakan
kerana saya sendiri tidak pernah mengalaminya.
“Daripada cerita penduduk juga mereka hanya
mengatakan ternampak seperti kelibat bayang-bayang sahaja dan bukannya hantu
yang bergolek-golek seperti yang didakwa,” katanya.
Katanya, dalam kehangatan orang ramai bercerita
tentang penemuan hantu itu, berlaku satu kejadian yang tidak diingini iaitu
tabung masjid telah dipecah.
“Inilah yang kita khuatir sebenarnya, takut pocong
jadian sahaja untuk cuba menakutkan penduduk dan dalam masa yang sama turut
melakukan kejadian jenayah.
“Kita tidak menyedari pihak yang tidak
bertanggungjawab ini cuba mengambil kesempatan tetapi kita lebih suka untuk
menyebarkan perkara yang tidak betul.
“Saya amat berharap perkara ini dapat dihentikan
kerana banyak implikasi buruk yang berlaku. Saya juga telah membuat laporan
polis berkenaan isu ini bagi meredakan keadaan,” katanya.
Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya tetap
melakukan rondaan keselamatan di kawasan kampung.
“Kami juga akan mengadakan bacaan Yasin pada setiap
minggu untuk mengembalikan keyakinan penduduk kampung.
“Sebenarnya isu ini tidaklah besar namun menjadi
hangat disebabkan penyebaran melalui internet sehinggakan perkara yang tidak
benar juga turut tersebar,” katanya.
Nampak bayang wanita
Penduduk Kampung Balun Bidai di sini nyata terkejut
dengan berita penemuan hantu pocong sehingga menakutkan penduduk untuk keluar
rumah pada waktu malam.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai
Zara, 22, mendakwa, dia pernah terlihat bayang-bayang menyerupai wanita namun
tidak dapat mengagak sama ada ia bayang manusia atau sebaliknya ketika berjaga
sehingga jam 1 pagi menguruskan premis kafe sibernya.
“Pernah satu ketika saya terlihat kelibat
bayang-bayang di sebalik pokok pisang yang menyerupai wanita namun saya sendiri
tidak pasti sama ada ia makhluk halus atau bayang-bayang biasa sahaja.
“Keadaan pada waktu itu pula gelap dan pelbagai
kemungkinan boleh ditafsirkan berkenaan bayang-bayang itu,” katanya.
Katanya, dia amat terkejut apabila penduduk kampung
mula heboh memperkatakan penemuan pocong bermata merah sedang bergolek-golek
dan melompat-lompat.
“Saya sendiri terkejut bagaimana cerita itu boleh
timbul kerana saya tidak melihat keadaan seumpama itu dan hanya melihat
bayang-bayang sahaja,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai
Reen, 22, berkata, rumahnya paling hampir dengan kawasan yang dikatakan pocong
ditemui.
“Kami sekeluarga tidak pernah terjumpa atau terlihat
sebarang kelibat bayang-bayang atau sebagainya sepanjang tinggal di sini dan
berulang-alik ke masjid.
“Ayah saya bilal di masjid ini dan setiap pagi akan
keluar ke masjid untuk azan subuh tetapi tidak pula berjumpa dengan pocong.
“Begitu juga dengan abang saya yang kadang-kala balik
pada jam satu atau dua pagi tidak pernah bertembung dengan sebarang kelibat
yang mencurigakan,” katanya.
Katanya, dia sendiri mengetahui berkenaan cerita itu
melalui lama sosial yang hangat memperkatakan mengenai isu itu.
“Saya merasakan ada pihak yang cuba membesarkan isu
ini untuk menakutkan penduduk bagi tujuan-tujuan tertentu sedangkan ada
penduduk kampung yang langsung tidak mengetahuinya,” katanya.
Jangan Mudah Percaya
Umat Islam di negeri digesa menjauhi perbuatan
menyebarkan maklumat palsu di laman sosial sehingga menimbulkan kegelisahan
orang ramai.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria
berkata, masyarakat perlu memastikan sumber berita tersebut.
“Macam kes pocong di Kampung Balun Bidai, saya harap
masyarakat tidak terlalu taksub kepada perkara itu agar tidak menjadi
‘kepercayaan’ pula.
“Jika dia nampak sekalipun, tidak perlu dia
menceritakan kepada orang lain bagi tujuan menyampai. Perkara ini boleh
menimbulkan ketakutan, pergaduhan dan lain-lain lagi,” katanya ketika
dihubungi, semalam.
Mohd Nizar menambah, masyarakat dinasihatkan tidak
mudah terpengaruh atau bersemangat untuk berceritakan tentang kewujudan pocong
sehingga menakut-nakutkan orang ramai.
“Adalah lebih baik ia diisi dengan pelbagai aktiviti
ilmu seperti mengadakan bacaan Yasin atau solat hajat agar memohon kepada ALLAH
SWT supaya dijauhkan daripada gangguan jin dan syaitan.
“Apabila kita dah dapat berita kita perlu pastikan
daripada mana datangnya sumber berita tersebut sebelum terus menyebarkannya,
jadi saya harap janganlah besar-besarkan lagi berita seperti ini,” katanya.
Post a Comment Blogger Facebook