BERAS subsidi Super Tempatan (ST) 15 peratus hancur atau lebih dikenali sebagai ST15 yang dikhususkan untuk pasaran runcit dan golongan berpendapatan rendah didapati tiada di pasaran sejak dua bulan lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit sekitar daerah Kota Setar mendapati, hanya beras ST5 dan ST10 dijual di pasaran, sebaliknya beras ST15 terputus bekalan atau hanya dibekalkan dalam kuantiti sedikit, menyebabkan bekalan kehabisan sebaik dipasarkan. Ikuti, tinjauan dan pandangan Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail yang menyarankan kerajaan supaya mansuhkan beras ST15 dalam usaha membanteras penyelewengan yang dikesan sejak lebih lima tahun lalu.

ALOR SETAR - Beberapa pekedai di sekitar bandar ini bersungut apabila bekalan beras S15 yang dihantar ke kedai mereka mulai kurang.

Perkara ini menyebabkan bekalan terhad sedangkan beras itu mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Pengurus Pasaraya Istafa, Intan Shufinah Mustafa berkata, pemborong belum membekalkan bekalan ST15 ke kedainya untuk bulan ini.

“Saya masih tunggu bekalan dihantar ke dua cawangan kedai, namun sehingga semalam, masih tiada bekalan. Pada Oktober, bekalan dihantar awal bulan tetapi kuantitinya berkurangan,” katanya.

Menurutnya, pemborong pernah memaklumkan, kuota ST15 diperuntukkan kepada mereka dikurangkan hingga menyebabkan bekalan terhad.

“Saya dapat bekalan 100 kampit bagi setiap kedai, ada kala bekalan kurang sebab pemborong kehabisan stok berikutan peruncit lain terlebih dahulu mendapatkan bekalan secara terus,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bekalan ST15 kini bergantung kepada pemborong yang membekalkannya, sama ada dalam kuantiti banyak atau sedikit.

Situasi amat berbeza bagi sebuah kedai runcit MCM Utara Trading, berdekatan Pasaraya Billion, di mana bekalan ST15 tiada sejak dua tahun lalu.

Sabir Ismail berkata, sudah lama syarikatnya tidak membekalkan beras ST15, sebaliknya hanya menjual beras ST5 sahaja untuk dijual di kedai itu.

“Hanya ada beras ST5 dijual di sini. Tetapi saya hairan juga kerana kedai berdekatan ada terima beras ST15, tetapi dalam kuantiti sedikit sekitar 10 hingga 20 kampit,” katanya.

Tinjauan di Pasaraya Perniagaan Pak Tori juga mendapati, bekalan ST15 sudah dua bulan tidak dibekalkan.

“Kami terputus bekalan beras ST15 sejak dua bulan. Pembeli hanya boleh beli beras ST5 sahaja. Harganya pula RM25 ke atas untuk pelbagai jenama bagi 10 kilogram,” kata salah seorang pekerja.

Sebuah lagi kedai runcit berdekatan, turut mengesahkan kedai miliknya sudah dua bulan kehabisan bekalan.

“Secara keseluruhannya, beras jenis ST15 tidak ada dalam pasaran di sekitar kawasan ini sejak dua bulan. Kedai ini hanya dapat bekalan 10 kampit sahaja sebelum ini. Jadi sekarang kami jual beras ST5 dan ST10 sahaja, walaupun permintaan untuk ST15 tinggi,” katanya.